top of page

Belum, bukan salah satu hutan tertua di dunia?

Writer: W a r n a
W a r n a
Nov 2
1 min read

“Belum, bukan salah satu hutan tertua di dunia?” Satu persoalan ringkas, namun cukup untuk membuat kita berhenti sejenak dan ingin mengetahui jawapannya. Inilah antara pendekatan menarik yang diketengahkan dalam Kursus Pemantapan Guide anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak (PTN), yang baru-baru ini berlangsung di Gerik, Perak. Kursus ini menghimpunkan penggiat pelancongan dalam kalangan Persatuan Pemandu Pelancong yang berpangkalan di Pulau Banding, Tasik Temengor, serta pemandu alam semula jadi untuk memperkukuh pengetahuan, kemahiran komunikasi, dan teknik penceritaan yang mampu menjadikan setiap perjalanan ke Royal Belum lebih bermakna. Antara yang berkongsi ilmu dan pengalaman ialah Pengurus Besar PTN dan pakar pemerhatian burung daripada Malaysian Nature Society (MNS), yang turut berkongsi pengetahuan mengenai keunikan biodiversiti dan khazanah alam Royal Belum.


Dengan hutan hujan tropika yang dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, Royal Belum menyimpan pelbagai kisah yang wajar diterokai dan dikongsikan kepada dunia. Namun, menjadi seorang pemandu pelancong yang baik bukan sekadar menghafal fakta, tetapi juga mengetahui cara menyampaikan cerita yang tepat, menarik, dan mampu meninggalkan kesan pada pengunjung. Bagi Belum Rainforest Resort, usaha memperkasa pengetahuan dan kemahiran pemandu pelancong ini amat penting dalam memperkukuh pengalaman ekopelancongan yang berkualiti, di samping menyemai kesedaran bahawa keindahan Royal Belum bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi juga untuk dihargai dan dipelihara demi generasi akan datang.



Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page