top of page
Writer's pictureW a r n a

Salam Kemerdekaan











Salam Kemerdekaan kepada Semua Warga EMKAY,


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-67, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada seluruh warga EMKAY. Tema sambutan tahun ini, "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka," mengingatkan kita akan semangat kebebasan yang telah lama tertanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Semoga semangat ini terus menyemarakkan perpaduan dan kemajuan negara kita.


Hari Merdeka bukan sekadar cuti umum, tetapi satu peringatan yang mendalam tentang perjuangan, pengorbanan, dan semangat juang para pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan untuk tanah air kita yang tercinta, Malaysia. Sambutan ini mengajak kita untuk menghargai dan merenung kembali nilai kebebasan yang dinikmati hari ini, hasil titik peluh dan keazaman mereka yang berjuang demi masa depan negara.


Sebagai sebuah organisasi yang kukuh dalam industri pembangunan hartanah, kita juga perlu menanamkan semangat kemerdekaan dalam setiap usaha yang kita laksanakan. Kemerdekaan bukan sekadar bermakna bebas daripada penjajahan, tetapi juga membawa erti kebebasan untuk berinovasi, berkreativiti, dan mengejar impian kita. Dalam semangat ini, marilah kita terus maju dengan komitmen untuk membina masa depan yang lebih cerah, selari dengan aspirasi kebangsaan.


Saya sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan, bersama dengan Pengarah-Pengarah Eksekutif, Tn Haji Ahmad Khalif dan Hjh. Farah Mahami Tan Sri Mustapha Kamal, serta Ketua Pegawai Eksekutif anda, kami bertekad untuk memastikan bahawa Kumpulan EMKAY, InShaAllah akan terus maju dengan memegang teguh kepada nilai-nilai asas (Core Purpose) kita—“We help people experience joy from great properties”.  “God Will” kita akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, seiring dengan aspirasi negara untuk mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi.


Marilah kita berganding bahu, bersama-sama memacu Kumpulan EMKAY ke arah kecemerlangan, sambil menghayati dan menyemarakkan semangat "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" dalam diri kita. Saya juga ingin menyeru kepada anda untuk memerdekakan diri dari "politik pejabat" yang hanya akan mencipta blok di antara kita. "One Team-One Dream-Endless Possibilities", kredo yang harus kita martabatkan disamping Jiwa Merdeka sempena bulan Kebangsaan yang sedang kita raikan. Ingatlah, kejayaan kita bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk negara yang kita cintai, Malaysia, dan khusus untuk kita di Kumpulan EMKAY. Bersama, kita membina masa depan yang gemilang.


Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-67. Semoga semangat Merdeka terus menjadi inspirasi yang membimbing setiap langkah kita ke arah kejayaan dan kemajuan.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Salam hormat,


Dato' Hjh. Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal

Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY

25 views0 comments

Recent Posts

See All

Opmerkingen


bottom of page