top of page

Perutusan Hari Raya Aidil Fitri 1446H



Salam hormat, salam sejahtera dan salam 1 Syawal 1446H.

Alhamdulillah, setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, kini tibalah saat yang dinanti-nantikan—Kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri 1446H untuk tahun 2025. Masa berlalu begitu pantas, sebulan berpuasa bagaikan seminggu sahaja, dan bulan yang penuh keberkatan ini akan digantikan dengan bulan Syawal, yang mana kita akan raikan kehadirannya. Sayugianya, saya dengan penuh kesyukuran, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada seluruh warga Kerja Kumpulan EMKAY berserta seisi keluarga mereka.


Aidilfitri yang diraikan ini bukanlah sekadar perayaan, tetapi ia merupakan satu simbol kemenangan—kemenangan melawan hawa nafsu, memperkukuhkan disiplin diri, dan mempereratkan silaturahim. Ia juga menjadi masa yang sangat bermakna untuk kita menyemai semangat kebersamaan, menghargai nilai-nilai kasih sayang melalui anjuran-anjuran Iftar bersama anak-anak yatim, dan rasa saling maaf-memaafkan dikalangan kita warga kerja Kumpulan EMKAY.


Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menghargai setiap usaha dan dedikasi anda semua dalam memastikan perjalanan Kumpulan EMKAY di landasan yang betul berpaksikan pada OPSP yang telah semua persetujui. Walaupun kita masih lagi di sukuan tahun pertama (Q1), Saya sering mempercayai bahawa kejayaan masa depan adalah hasil dan usaha keras pada masa sekarang. Ringkasnya, kejayaan bukannya datang bergolek, mahupun pipih melayang.   Saya ingin menyeru anda semua untuk terus kerja berpasukan dan terus istiqamah memberikan  komitmen seratus-peratus dalam setiap usaha yang kita laksanakan.

Namun, dalam kemeriahan menyambut Syawal, saya ingin mengingatkan agar kita sentiasa mengutamakan keselamatan ketika pulang berhari-raya ke kampung halaman. Pastikan perjalanan anda selamat, dan nikmati waktu bersama insan tersayang dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.



Kepada mereka yang dikehendaki untuk bertugas semasa musim perayaan terutama sekali kepada mereka di BRR, terima kasih atas komitmen anda dalam memastikan operasi syarikat terus berjalan lancar. Setiap usaha anda amat dihargai dan saya berdoa agar Allah SWT memberikan keberkatan dalam setiap pekerjaan kita.


Akhir kata, marilah kita terus menjalin ukhuwah, mengukuhkan perpaduan, dan bersama-sama membawa Kumpulan EMKAY ke tahap yang lebih cemerlang. Dengan semangat Enterprising, Partnership, Integrity, dan Care (EPIC) yang kita pegang, saya yakin kita mampu mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin. Semoga Syawal ini membawa kebahagiaan, keberkatan, dan kesejahteraan kepada kita semua.



Dato’ Hjh Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal

Pengerusi Eksekutif, Kumpulan EMKAY

Comments


bottom of page